Dua Rumah Musnah Terbakar Di Sandakan

Kelihatan anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Mangkalinau.

SANDAKAN: Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Mangkalinau Batu 3, lewat petang semalam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Zon Sandakan Pegawai Bomba (Peg.B) Martin Thomas berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu jam 7.10 malam melalui talian Balai Bomba Sandakan.

Kelihatan anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Mangkalinau.

“Dua buah jentera Fire Rescue Tender, sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services dan sebuah jentera tanker bersama 15 anggota diketuai oleh PKPegB. Jimmy Lagung bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 3 kilometer dari Balai Bomba Sandakan,” katanya.

Beliau berkata laporan komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan dua buah rumah kediaman berkeluasan 30’x20’ telah terbakar 100 peratus.

“Pihaknya berjaya mengawal kebakaran dari merebak lebih kurang jam 7.27 malam dan operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya jam 8.24 malam,” katanya. 

Martin berkata tiada sebarang laporan kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian kebakaran berkenaan.

“Pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran dan jumlah kerugian,” katanya.