COVID-19 : Tiga Kes Baharu Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan pertambahan tiga kes Covid-19, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kini menjadi sebanyak 209 kes.

Pertambahan itu membabitkan tiga daerah iaitu masing-masing satu di Sandakan, Penampang dan Semporna.

Statistik terbaharu itu disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi.

Sehingga kini, Tawau kekal daerah tertinggi merekodkan kes Covid-19 dengan jumlah 63 kes manakala Lahad Datu kedua tertinggi dengan jumlah 35 kes.

Kota Kinabalu yang tidak mencatat penambahan kes juga kekal daerah ketiga tertinggi dengan jumlah 29 kes manakala Sandakan daerah keempat tertinggi dengan jumlah 17 kes termasuk satu kes baharu, hari ini.

Dua lagi daerah yang merekodkan lebih daripada sepuluh kes ialah Kinabatangan dengan jumlah 14 kes dan Tuaran dengan 12 kes, setakat ini.

Lain-lain daerah yang kekal dengan jumlah kes sebelum ini ialah Beaufort, Kunak, Dan Putatan yang masing-masing merekodkan tujuh kes, Kota Belud (5), Sipitang (4), Papar (2), dan Ranau (2).

Penampang dan Semporna pula kini masing-masing merekodkan jumlah dua kes selepas masing-masing meningkat satu kes hari ini manakala Tambunan masih kekal dengan hanya satu kes.

Kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini juga kekal satu kes iaitu di Tawau jumlah pesakit yang telah sembuh di setakat ini seramai 12 orang.

Sabah juga kekal negeri keempat tertinggi mencatatkan kes Covid-19 di Malaysia setakat ini selepas Selangor yang kini mencecah 726 kes, Kuala Lumpur (455) dan Johor (368). – Berita Sabah

2853