Penagih Dadah Ditahan Ingkar PKP Di Lahad Datu

Suspek yang ditahan.

LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam penagihan dadah ditahan setelah ingkar dari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Pantai, di sini, kelmarin.

Suspek yang menunggang motosikal berwarna merah ditahan anggota petugas unit rondaan bermotosikal setelah berkelakuan mencurigakan di satu kawasan di simpang Kampung Puyut, Jalan Pantai di sini, jam 11.30 malam.

Menurut Ketua Polis Daerah Nasri Mansor, suspek berumur 23 tahun telah keluar dari rumahnya menuju ke lokasi tanpa alasan yang jelas dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan.

“Pemeriksaan tubuh yang dilakukan ke atas suspek tidak menemukan barang salah namun ditahan setelah gagal mengemukakan tujuan sebenar keluar dari rumah dan berada di lokasi tangkapan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Nasri, pematuhan PKP merangkumi semua aktiviti pergerakan sepanjang masa dan menjadi tanggungjawab Polis Diraja Malaysia dibantu Angkatan Tentera Malaysia menguatkuasakan perintah kerajaan itu.

Katanya, kesalahan pematuhan PKP boleh diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

SumbeR: Utusan Borneo

287