COVID-19: Tiada Kes Baharu Di Sabah, Kes Positif Kekal 197

KOTA KINABALU: Tiada kes baharu positif COVID-19 direkodkan di negeri ini sehingga jam 12 tengah hari sekaligus mengekalkan jumlah terkumpul sebanyak 197 kes.

Sabah berada di kedudukan negeri keempat tertinggi kes positif COVID-19 selepas Selangor dengan 612 kes diikuti Kuala Lumpur sebanyak 372 kes dan Johor 309 kes.

Jumlah kes kematian di negeri ini juga masih kekal dengan satu kes tanpa sebarang pertambahan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, sehingga 29 Mac 2020, sebanyak tujuh kes kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah kes kematian terkumpul sebanyak 34 kes di seluruh negara.

Katanya, sebanyak 150 kes baharu direkodkan semalam dan jumlah berkenaan menjadikan kes terkumpul positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 2,470 kes.

Menurutnya, bagi kes yang pulih, sebanyak 68 kes dibenarkan pulang semalam dan ia menjadikan kes terkumpul yang pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 388 kes.

Sebanyak 73 kes positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 52 kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

1178