4 Lelaki Ditahan Selepas Cari Ketam Ingkar PKP Di Labuan

Gambar Hiasan

LABUAN: Empat lelaki tempatan ditangkap kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kg Bebuloh pada awal pagi hari ini, menjadikan jumlah penangkapan di Labuan kepada enam orang setakat ini.

Ketua Polis Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata, empat lelaki berusia 20an itu ditahan ketika mereka baru mahu pulang ke rumah kira-kira jam 1.20 pagi ketika anggota polis peronda sedang menjalankan rutin penguatkuasaan PKP di kawasan itu.

Berdasarkan siasatan awal, ke empat-empat lelaki itu memberitahu polis mereka meninggalkan rumah mereka di Taman Kian Yap kira-kira pukul 6 petang semalam (Sabtu) untuk mencari ketam di sekitar Kg Bebuloh Laut dan selesai pukul 10.30 malam.

SUPT MUHAMAD FARID

“Bagaimanapun, mereka tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya mereka pergi pula ke rumah rakan mereka berhampiran kampung itu sehingga kira-kira pukul 1 pagi.

“Dan ketika mereka hendak menunggang motosikal mereka untuk pulang ke rumah, anggota kami terlihat mereka dan menahan mereka untuk dibawa ke balai polis untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Farid berkata siasatan lanjut mendedahkan empat lelaki itu tahu akan Perintah Kawalan Pergerakan melalui media massa, radio dan televisyen.

“Tetapi mereka merancang juga lebih awal untuk keluar rumah mencari ketam untuk keperluan harian mereka,” katanya.

Mereka akan disiasat di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, kerana tidak mematuhi perintah MCO, dan akan dikenakan di mahkamah. – BorneoToday

610