COVID-19: Bantuan Harus Dilakukan Secara Saksama & Telus

Andi Muhammad Suryady Bandy

TAWAU: Pakej Bantuan COVID-19 Sabah diharap dapat dilakukan secara saksama dan telus supaya tujuan pelaksanaannya sampai kepada sasaran.

Ketua UMNO Bahagian Kalabakan A.M. Suryady Bandy berkata, pakej bantuan yang bernilai RM670 juta itu dilihat mampu membantu meringankan beban dan kepayahan rakyat pada masa ini.

“Namun, pelaksanaannya harus dilakukan dengan cara mengurangkan karenah birokrasi dan perlunya ada makanisme penyampaian yang lebih efektif, terutamanya bantuan ‘one-off’ RM20 juta kepada miskin/tegar dan RM80 juta bagi golongan B40,” katanya.

Menurutnya, bantuan kewangan boleh disalurkan secara terus melalui e-wallet sama ada Touch n Go, Boost dan sebagainya.

“Penyerahan melalui pihak ketiga atau debit ke akaun bank dapat meningkatkan penularan COVID-19 kerana penerima terpaksa berkumpul beramai-ramai di satu tempat atau di bank untuk menerima bantuan,” katanya.

Disamping itu, beliau berkata langkah kerajaan Pusat menangguhkan pembayaran balik pinjaman bank bagi individu, sektor PKS dan korporat merupakan langkah terbaik untuk membantu tiga segmen itu menghadapi kesan wabak COVID-19 ini.

“Wabak ini bukan hanya masalah kesihatan, tetapi mendatangkan implikasi yang lebih besar kepada ekonomi negara kita. Golongan B40 juga perlu diberi perhatian kerana ada diantaranya yang kehilangan punca pendapatan dan tidak dapat menyara keluarga.

“Sektor pelancongan iaitu salah satu penyumbang ekonomi terbesar di Sabah juga perlu mendapat keistimewaan melalui pemotongan cukai korporat,” katanya.

Katanya, diharapkan kerajaan negeri dapat menyalurkan bantuan dengan kadar segera memandangkan tempoh PKP pun sudah dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

“Marilah kita sama-sama berdoa dan mengharapkan supaya wabak ini dapat diatasi dan dihapuskan dengan segera,” katanya.

SumbeR: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *