4,948 Masih Di Bawah Pengawasan Covid-19 Di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 331 kontak rapat pesakit koronavirus baharu (Covid-19) di Sabah sudah menamatkan tempoh kuarantin di rumah selama 14 hari.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, masih terdapat 4,948 individu lagi di bawah perintah pengawasan atau pemerhatian sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 1,043 premis sudah diperiksa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Katanya, daripada pemeriksaan itu, dua premis makanan dan satu kediaman diadapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(2), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Tiga notis amaran dikeluarkan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah ke atas semua premis terbabit.

“Operasi ini turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan RELA di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Christina berkata, setiap individu yang memasuki Sabah sama ada melalui pintu masuk udara, laut dan darat perlu mengisi Borang Pengisytiharan Kesihatan Kemasukan Ke Sabah bermula 26 Mac.

Beliau berkata, borang berkenaan perlu dilengkapkan dengan jujur dan sesiapa yang gagal mengisi borang ini atau membuat maklumat palsu, individu itu boleh didakwa mengikut Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – Harian Metro

497