Bayaran Sewa PPR Dikecualikan 6 Bulan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memanjangkan pengecualian pembayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada tempoh sebulan yang diumumkan sebelum ini kepada enam bulan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan melaksanakan moratorium itu akan membabitkan peruntukan kos keseluruhan sebanyak RM3 juta yang bakal ditanggung oleh kerajaan.

“Pengecualian ini membabitkan 3,636 unit rumah PPR disewa atau transit bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Bagi unit sewa pula, penangguhan bayaran bulanan diberikan selama enam bulan, berkuat kuasa April hingga September ini.

“Penangguhan bayaran ini membabitkan kos RM5.7 juta bagi 4,649 unit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) hari ini.