Polis Bagi Amaran Keras Kepada Penduduk Tidak Patuh Perintah

TAWAU: Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegur masyarakat secara berhemah, kini bertukar menjadi amaran keras selepas masih terdapat segelintir masyarakat dikesan masih ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO), di sini, hari ini.

Tinjauan Borneo Today di beberapa kawasan perumahan seperti di Megah Jaya, Batu 4, Taman Semarak dan Kampung Titingan mendapati, masih ada orang awam berada di luar rumah termasuk ada yang bersenam di kawasan umum.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi, mengesahkan menerima maklumat berhubung aktiviti luar orang ramai yang dilihat sengaja melanggar MCO yang kini memasuki hari ketujuh.

“Di Megah Jaya misalnya, pihak kami menerima aduan ada individu yang beriadah di kawasan premis perniagaan sejak semalam dan hari ini.

“Bagaimanapun, sebaik Unit Peronda tiba di sana, individu tersebut tiada dipercayai sudah pulang ke rumah,” katanya.

Menurut Peter, dalam pemantauan yang dilakukan hari ini, anggota bertugas mendapati masih ada individu berada di luar kediaman termasuk ada yang bersiar-siar di jalan taman perumahan.

“Ia menyebabkan anggota bertugas bertindak memberi amaran tegas dan mengarahkan mereka masuk ke dalam rumah masing-masing jika enggan mematuhi arahan MCO.

“Secara keseluruhannya, penduduk yang ingkar boleh dianggarkan sekitar 5 peratus sahaja, manakala 95 peratus lagi mematuhi arahan MCO,” katanya.

Tambahnya, pemantauan dan rondaan akan dilakukan secara berterusan sepanjang pelaksanaan MCO dalam memastikan matlamat mengekang penularan wabak Covid-19 berjaya dilaksanakan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *