Bot Penumpang Dari Pulau Gaya Diarah Patah Balik

Anggota APMM mengarahkan semua bot membawa penumpang yang merapat di Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, untuk berpatah balik susulan sekatan sebarang pergerakan di kawasan berkenaan.

KOTA KINABALU: Beberapa bot penumpang dari Pulau Gaya ke Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu di sini, diarah berpatah balik selepas sekatan sebarang aktiviti pergerakan dilaksanakan di kawasan pulau berkenaan, bermula semalam.

Semua bot penumpang itu mula berkumpul dan mendekati jeti berkenaan kira-kira jam 5 petang tadi dan kebanyakan penumpang memberi alasan untuk ke Kota Kinabalu bagi membeli barang.

Bagaimanapun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di situ meminta mereka berpatah balik kerana semua pasar raya atau dan premis perniagaan ditutup.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, pergerakan dari Pulau Gaya ke tanah besar dihentikan serta merta kecuali hal-hal mustahak dan kecemasan.

“Anggota APMM yang bertugas seramai 11 orang dengan dua bot rondaan mengarah semua mereka berpatah balik ke Pulau Gaya.

“APMM akan terus melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan berkenaan bagi melaksanakan PKP ini,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah mengesahkan Pulau Gaya ditutup daripada sebarang aktiviti kemasukan atau keluar oleh orang awam selepas kes Covid-19 dikesan di kawasan berkenaan.

Pasukan perubatan masuk ke pulau itu untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *