6 Jemaah Tabligh Malaysia Terkandas Di Nunukan

6 jamaah tabligh Malaysia yang baru tiba di Pelabuhan Nunukan. – Foto Niaga.Asia

Enam jemaah tabligh Malaysia yang baru pulang daripada misi dakwah di Makassar, Sulawesi, Indonesia, dilaporkan terkandas di pelabuhan Nunukan semalam.

Difahamkan semua jemaah terbabit dalam misi dakwah di wilayah berkenaan sejak 11 Mac lalu sebelum tiba di Pelabuhan Liem Hie Djung, Nunukan, untuk pulang ke Tawau melalui jalan laut.

Memetik laporan portal berita KhabarUtara.com, Ketua Pejabat Kesihatan Pelabuhan Nunukan, Dr Bahrullah berkata, selepas saringan kesihatan dijalankan kesemua mereka ditempatkan di pusat tahanan semenatara (Rusunawa).

Pelabuhan PLBL Liem Hie Djung, Nunukan, Kalimantan Utara

Katanya, enam jemaah tabligh berkenaan didapati memiliki sejarah lawatan perjalanan dari Makassar, iaitu satu daripada bandar di wilayah yang mempunyai kes Covid-19.

“Jadi ini upaya ‘safety’ kita, kerana mereka datang dari lokasi yang ada kes kematian akibat wabak Covid-19, kita sediakan kemudahan sewajarnya.

“Mereka keluar dari Malaysia untuk misi dakwah sekitar 11 Mac sebagaimana maklumat (keterangan) pada pasport masing-masing, ertinya sebelum (Perintah Kawalan Pergerakan) iaitu pada 18 Mac 2020.

“Sementara ini mereka akan kita observasi di rusunawa sampai (Perintah Kawalan Pergerakan) dibuka,” katanya.

Sabtu lalu, 12 jemaah tabligh yang baru pulang daripada menyertai Program Ijtimak Dunia Zon Asia 2020 di Sulawesi, Indonesia diiring pasukan keselamatan ketika memasuki perairan Tawau.

Kumpulan berkenaan kini ditempatkan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau bagi tujuan kuarantin dan pemantauan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai tidak mendiskriminasi dan menyalahkan jemaah tabligh, sebaliknya membantu mengesan mereka serta kontak dalam usaha membendung penularan Covid-19.

SumbeR: Harian Metro

682