44 Pesalah Dadah Ditahan Di Sekitar Kota Kinabalu

Individu disyaki penagih yang cuba melarikan diri berjaya diberkas oleh anggota polis dalam Ops Sarang di Kota Kinabalu. 

KOTA KINABALU: Seramai 44 individu berusia antara 17 sehingga 59 tahun, termasuk 11 warga asing, ditahan atas kesalahan melibatkan dadah menerusi Op Pusat Hiburan dan Op Sarang yang bermula 7 Mac lalu dan berakhir kelmarin, di sini.

Ketua Polis Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, daripada jumlah tersebut seorang individu ditahan bagi kesalahan melibatkan kes bekalan dan pengedaran dadah di bawah Seksyen 39a(1) ADB 19952, manakala 10 individu lain ditahan kerana memiliki dadah yang disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952.

“Seramai 33 individu lagi ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 bagi tangkapan urin positif dadah.

Polis memeriksa individu dalam Ops Sarang, Ops Pusat Hiburan sekitar Kota Kinabalu

“Daripada jumlah tangkapan tersebut, empat individu telah ditahan kerana didapati positif dadah di dalam Op Pusat Hiburan di dua buah premis pusat hiburan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu pada 7 Mac 2020,” katanya.

Menurut Habibi, operasi khas tersebut bertujuan untuk menyekat pengedaran dadah di premis pusat hiburan, selain mengesan pembekal dan pengguna dadah.

Manakala, 12 lagi individu ditahan menerusi Op Sarang di tiga buah lokasi iaitu Kampung Likas, Kampung Sembulan dan Kampung Labou pada 10 Mac sehingga 12 Mac.

Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati rampasan dadah dalam tempoh seminggu adalah sebanyak 14.69 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM2,203.50 berdasarkan harga dadah semasa.

Anggota polis melakukan operasi di pusat hiburan bagi mengekang penyalahgunaan dadah

“Operasi dan serbuan yang dijalankan adalah usaha bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam memantau, mengesan serta mengekang segala aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di dalam daerah Kota Kinabalu,” katanya.

Dalam pada itu, orang awam diseru untuk menyalurkan maklumat ke hotline IPD Kota Kinabalu di 088-529220 atau akaun Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu bagi membantu dalam pembanterasan jenayah dadah. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *