Empat Markas Tabligh Di Sabah Ditutup Untuk Pembasmian

4 Markas Tabligh Di Sabah Ditutup Untuk Pembasmian

KOTA KINABALU: Empat markas tabligh di daerah Kota Kinabalu, Beaufort, Tawau dan Sandakan ditutup buat sementara waktu bagi tujuan melakukan kerja-kerja pembasmian kuman untuk mencegah penularan jangkitan wabak Covid-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, langkah itu bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan dalam kalangan jemaah yang pernah menyertai perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac.

Beliau juga mengarahkan mana-mana masjid dan surau yang pernah dikunjungi oleh anggota jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Kuala Lumpur itu hendaklah ditutup buat sementara waktu bagi tujuan melakukan kerja-kerja pembasmian kuman.

”Bagi penutupan markas, masjid dan surau yang terlibat bagi tujuan melakukan kerja-kerja pembasmian kuman perlu diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Larangan ini bertujuan memastikan kesejahteraan orang ramai terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Safar juga meminta semua anggota jemaah tabligh yang ada sentuhan fizikal secara langsung atau tidak langsung dengan anggota jemaah yang menghadiri perhimpunan Ijtimak di Kuala Lumpur serta ahli keluarga mereka yang terdekat perlu tampil melakukan pemeriksaan kesihatan serta memaklumkan kepada pegawai perubatan kerajaan dengan kadar segera.

Larangan sementara turut dikeluarkan semalam oleh Jheains kepada anggota jemaah tabligh agar tidak mengadakan perhimpunan di masjid dan surau di seluruh Sabah.

sumber: BorneoToday