Rampas Arak, Rokok Bernilai Lebih RM500,000

Tiga suspek penyeludup ditahan di Kampung Gambaron, Telupid. 

TELUPID: Sebuah premis menjual rokok dan arak seludup diserbu anggota Tiger Platoon Pasukan Gerakan Am (PGA) dan merampas barangan bernilai lebih RM500,000 di Kampung Gambaron, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, tiga lelaki berusia 40 hingga 60 tahun disyaki pemilik premis dan pekerja turut berjaya diberkas.

Pemilik premis adalah warga tempatan manakala pekerjanya adalah warga asing Filipina dan Indonesia.

Rokok dan arak seludup yang dirampas. – NSTP/Ihsan Pasukan Gerakan Am

Pegawai Memerintah, PGA Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata bertindak atas maklumat orang awam sepasukan anggota segera dihantar ke lokasi terbabit bagi menjalankan serbuan.

Katanya, sebaik sampai di premis itu anggota bertugas diketuai Inspektor Mohd Nazrin Shah Zulhakim memperkenalkan diri sebagai polis dan kemudian menjalankan pemeriksaan.

“Sejurus itu, dua lagi lelaki ditemui sedang sibuk memunggah rokok dan arak ke dalam lori.

“Pemeriksaan lanjut mendapati barangan berkenaan dipercayai tidak bercukai dipercayai diseludup.

“Anggota bertugas kemudiannya merampas wang tunai sebanyak RM3,491 yang disimpan di kaunter premis berkenaan kerana disyaki hasil jualan barangan seludup,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Nazrin berkata, semua suspek kemudiannya diberkas dan barangan berkaitan di situ dirampas untuk tindakan lanjut.

“Barangan rampasan iaitu rokok seludup, arak seludup, lori dan wang tunai yang semuanya dianggarkan RM586,768.

“Suspek bersama barang rampasan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *