Dua Lelaki Parah Lori Udang Jatuh Gaung

SEMPORNA: Dua lelaki parah manakala seorang lagi cedera ringan selepas lori tiga tan yang dinaiki mereka terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter di Kilometer 37, Jalan Semporna-Tawau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, pemandu lori, Arbaniansyah Kasim, 41, patah tulang tengkuk dan kelindannya Mohammad Zul Aien Ahmat, 19, patah tangan kiri.

Manakala seorang lagi kelindan yang juga adik kepada Mohammad Zul iaitu Muhammad Azlanshah Ahmat, 18, hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Semporna Superitendan Sabarudin Rahmat berkata, sebelum kejadian, kenderaan yang membawa muatan udang itu dalam perjalanan dari arah Semporna menuju ke Tawau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dikatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke sebelah kiri jalan.

“Kenderaan itu kemudiannya terbalik dan muatan udang yang berada di belakang turut terjatuh,” katanya.

Menurut saksi, akibat kemalangan itu, seorang mangsa (pemandu) terbaring di luar kenderaan manakala dua lagi mangsa terperangkap di dalam lori dan gagal keluar.

Menurut Sabarudin, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, pemandu lori akan dirujuk ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan lebih lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Rosman Gari berkata, pihaknya mengambil masa hampir 16 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.

“Semua mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Operasi tamat pada pukul 1 petang itu membabitkan sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna,” katanya.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *