KOTA KINABALU: Aina Zainatul Zakirah Ismail dari Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu memperoleh 10A+ dan 1A dinobatkan sebagai pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 peringkat negeri Sabah kategori A (11 mata pelajaran mencapai sekurang-kurangnya 8A+).
Pengarah Pendidikan Sabah Dr Mistirine Radin berkata, Vesley Junior Villos dari Sekolah Menengah (SM) St Michael, Penampang pula memperolehi 9A+ dan 1A dinobatkan sebagai pelajar cemerlang SPM 2019 bagi kategori B (10 mata pelajaran mencapai sekurang-kurang 8A+).
“Dalam kategori C (9 mata pelajaran mencapai sekurang-kurangnya 8A+) Ahmad Uzair Hedzree daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick Tawau yang memperolehi 9A+ telah dinobatkan sebagai pelajar cemerlang 2019.
“Manakala bagi calon istimewa, Syeriefazran Norazman dari SMK Badin Tuaran yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) penghilatan dinobatkan sebagai pelajar cemerlang selepas memperolehi keputusan 1A+, 5A dan 1B,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2019 Sabah, di sini, hari ini.
Sementara itu Mintirine berkata Seramai 198 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 di Sabah memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran, sekali gus menunjukkan peningkatan seramai 46 orang berbanding 152 calon pada 2018.
“Keseluruhannya keputusan SPM Sabah juga meningkat dengan 53.83 peratus daripada 18,054 calon lulus semua subjek berbanding 51.68 peratus pada tahun sebelumnya.
“Gred Purata Nasional Sabah juga bertambah baik kepada 5.38 berbanding 5.44 pada 2018. Peratus calon yang layak mendapat sijil merosot sedikit kepada 87.79 peratus berbanding 88.53 peratus pada 2018,” katanya.
Mistirine turut mengumumkan 14 sekolah cemerlang SPM tahun ini antaranya SM Sains Kota Kinabalu, SM Sains Lahad Datu, SM St. Michael Penampang, SM Agama Kota Kinabalu dan SM Agama Tun Said Kota Belud.