‘8A’ Hadiah Hari Lahir Ayah

Elvyannye (dua kiri) gembira menunjukkan hadiah untuk ayahnya, Albert (kiri). Foto Recqueal Raimi

TUARAN: Kegembiraan seorang ayah sempena ulang tahun kelahirannya menjadi kenangan manis apabila anak perempuannya, Elvyannye Albert, 18, menerima 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Stephens Kiulu, Tuaran, semalam.

Albert Maloi, 44, berkata, dia mengambil cuti bekerja untuk menghantar anaknya ke sekolah untuk mengambil keputusan SPM, kira-kira 5 petang selepas menunggu program seminar keusahawanan disertai anaknya tamat.

“Tarikh hari ini (semalam) iaitu 5 Mac adalah ulang tahun hari kelahiran saya yang ke-44 dan saya memohon cuti untuk menemani anak saya mengambil keputusan SPM.

“Saya tidak menyangka anak sulung saya daripada tiga beradik itu meraih keputusan cemerlang dalam setiap subjek diambilnya termasuk geografi dan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, sebaik melihat senyuman anaknya dari jauh selepas mengambil slip keputusan, dia serta isterinya, Rosnani Florence, 42, segera melihat keputusan berkenaan dan terkejut.

“Walaupun saya sibuk bekerja, namun tidak sia-sia saya kerap mencuri masa untuk memantau aktiviti sekolahnya,” katanya yang bekerja sebagai pendawai elektrik di Kauluan, Tamparuli.

Sementara itu, Elvyannye berhasrat menjadi guru bahasa Inggeris dan mahu berkhidmat di tanah air.

“Kampung saya sangat jauh untuk ke sekolah dan saya tinggal di asrama berhampiran sekolah untuk memudahkan belajar.

“Ini adalah hadiah ulang tahun kelahiran ayah saya yang bertungkus-lumus membiayai perbelanjaan sekolah saya,” katanya yang berasal dari Kampung Kitapol, Tamparuli.

Difahamkan, Elvyannye adalah satu-satunya pelajar di sekolah terbabit yang mencapai keputusan 8A. – Harian Metro