Wakil Rakyat Sabah Kekal Prinsip, Tidak Kisah Jadi Blok Pembangkang

KOTA KINABALU: Sabah memberikan contoh politik matang dan berprinsip apabila semua wakil rakyat Warisan, UPKO dan Pakatan Harapan (PH) Sabah bersatu hati untuk kekal bersama walaupun terpaksa berada di dalam blok pembangkang.

Kesemua wakil rakyat itu yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk terus menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad.

MADIUS TANGAU

Presiden UPKO yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau berkata, parti itu telah menetapkan pendirian untuk bersama Warisan sejak 10 Mei 2018 ketika Barisan Nasional (BN) tumbang dalam pilihan raya umum.

“Pada kali ini kita terus mempertahankan mandat rakyat ini dengan memberikan sokongan kepada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Bagi UPKO yang paling penting adalah rakyat, itu adalah prinsip kita panduan kita daripada segi membuat keputusan di mana kepimpinan kita harus berikan sokongan,” katanya.

PHONG JIN ZHE

ADUN Luyang, Phong Jin Zhe berkata, DAP Sabah sejak awal-awal lagi telah menyatakan pendirian bahawa kerajaan PH dikekalkan untuk mempertahankan  mandat rakyat.

“Saya rasa amat bersyukur bagi pihak DAP kerana DAP Sabah dalam episod, dalam bab ini DAP memegang prinsip yang kukuh iaitu kita mahu pertahankan mandat pada pilihan raya umum lepas kita mahu pertahankan kerajaan, kekalkan sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Walaupun pada peringkat awal kita ada sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir tetapi walau bagaimanapun DAP memegang prinsip yang sama iaitu kita mahukan kerajaan Pakatan Harapan dikekalkan, maka saya rasa Datuk Seri pun memegang prinsip yang sama dan konsisten,” katanya ketika ditemui Borneo Today.

JAMAWI JAAFAR

Sementara itu, ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar berkata, ADUN kerajaan di Sabah sentiasa menyokong dan meletakkan kepercayaan kepada Ketua Menteri untuk membuat keputusan.

“Saya rasa ia satu pendirian yang baik kerana kita jangan terikut-ikut sentimen politik di Semenanjung kita harus ada kesedaran politik itu berprinsip dan bukan sahaja itu tetapi kita juga harus menghormati keputusan rakyat sebelum ini.

“Bukan sahaja memberi keyakinan kepada pelabur untuk ke Sabah tetapi juga memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa kerajaan yang ada ini mementingkan pemulihan ekonomi untuk meyakinkan pelabur datang ke Sabah,” jelasnya.

JAMES RATIB

ADUN Sugut, Datuk James Ratib pula berkata, pendirian dibuat Ketua Menteri itu menjawab kepada semua persoalan yang timbul sejak kemelut politik di Semenanjung berlaku.

“Kita ikut pertama sekali kita punya Presiden UPKO dan Ketua Menteri, apa sahaja keputusan Ketua Menteir Sabah kita akan ikut kita akan berdiri teguh di belakang beliau.

“Kita tahu di Kuala Lumpur itu pun masih lagi belum stabil dan kita di Sabah ini kita tunggu dan lihat dan berpegang teguh kepada prinsip iaitu ikut ketua,” katanya. –BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *