8A Untuk Mendiang Ayah

Lesvianna Lateh peroleh 8A dalam SPM.

NABAWAN: “Ini hadiah terbesar saya buat ibu dan mendiang bapa. Walaupun bapa sudah lama tiada tetapi semangatnya sentiasa bersama saya,” kata Lesvianna Lateh, 18, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan ll.

Anak keempat dari enam beradik itu memperoleh keputusan 8A dalam keputusan SPM yang diumumkan hari ini.

Menurut Lesvianna, mendiang bapanya, Lateh Angkiwan tidak pernah kenal erti putus asa dalam menyara mereka sekeluarga.

“Walaupun sakit tetapi bapa tetap bekerja sebagai petani untuk memastikan keluarga dapat hidup selesa,” katanya.

Lesvianna berkata, hari ini dia hadir berseorangan berikutan ibunya, Luah Ansaning, 46, berada di Labuan kerana bekerja sebagai tukang sapu.

Katanya, walaupun menjadi anak yatim sejak berusia 10 tahun dan terpaksa berjauhan dengan ibu, ia bukan faktor penghalang buat dirinya berjaya dalam pelajaran.

“Kami adik beradik sudah biasa berdikari kerana selepas kematian bapa, saya tinggal dengan nenek sebelum berpindah dan bersekolah di Tenom ketika tingkatan satu sehingga tingkatan tiga.

“Masuk tingkatan empat, saya pindah ke sekolah ini dan memilih untuk tinggal di asrama supaya dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada pelajaran.

“Saya anak tunggal perempuan dalam keluarga dan tiga lagi abang saya tidak habis sekolah. Oleh itu, besar harapan keluarga supaya saya melanjutkan pengajian hingga ke menara gading,” katanya bercita-cita menjadi seorang jurutera.

Untuk cemerlang, Lesvianna berkata dia dan rakan-rakan biasanya bangun awal kerana perlu menghadiri kelas tambahan seawal jam 5 pagi sebelum meneruskan sesi pembelajaran di waktu biasa persekolahan.

“Selepas itu, kami mengulangkaji pelajaran pada sebelah petang sekiranya tiada aktiviti lain.

“Bagaimanapun, saya akan memastikan mendapat rehat yang cukup supaya dapat menelaah pelajaran dengan baik,” katanya.

Selain itu katanya, dia juga sering merujuk guru dan berkongsi ilmu dengan rakan supaya apa yang dipelajari dapat difahami dengan lebih baik. – Harian Metro