Rompak Kedai Sendiri, Pengurus Dan Pembantu Kedai Ditahan

LAHAD DATU: Seorang pengurus kedai dan pembantunya ditahan polis selepas dipercayai merompak kedai serbaneka tempat mereka bekerja di Felda Sahabat 23, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, terdahulu, pembantu kedai tersebut iaitu seorang wanita membuat laporan polis berkaitan pecah masuk kedai membabitkan kehilangan wang tunai sebanyak RM10,000.

“Menurut pengadu, wang tunai berkenaan disimpan dalam peti besi di kedai tersebut.

“Selain wang tunai, pengadu turut mendakwa  sejumlah bungkus rokok turut hilang dipercayai dilarikan penjenayah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Nasri, bagaimanapun, polis mencurigai aduan yang diterima menyebabkan penahanan pengadu untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati, pengadu menerima arahan daripada pengurus kedai, seorang wanita, untuk membuat laporan polis sekali gus mendedahkan mereka sebagai perancang utama kes tersebut.

“Difahamkan, sebelum kejadian, hasil wang jualan berkurangan sebanyak RM4,000 dipercayai digunakan pengurus kedai,” katanya.

Wang tunai dan rokok yang dilarikan suspek.

Bagi menutup kesalahan itu, pengurus kedai terbabit  meminta suaminya untuk melakukan ‘pecah masuk’ kedai dan melarikan wang bagi mewujudkan elemen kecurian.

Nasri berkata, suami pengurus itu kemudian bertindak mengikut arahan isterinya dan melarikan wang tunai sebanyak RM8,000 dan 113 bungkus rokok pelbagai jenama.

“Polis berjaya menemukan wang berkenaan yang disembunyikan di dua lokasi berbeza iaitu di rumah ibu dan adik suami pengurus kedai tersebut.

“Turut dirampas 113 bungkus rokok dipercayai dilarikan dari kedai serbaneka tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, semua suspek berumur antara 20 hingga 40 tahun itu direman bagi membantu siasatan.

Nasri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan.

“Manakala pengurus dan pembantu kedai itu disiasat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dan boleh dikenakan hukuman yang sama seperti suspek lelaki,” katanya.

Sumber: BorneoToday

3630