Pasangan Suami Isteri Antara Ditahan Pecah Kedai Runcit

Bahan bukti kes yang dirampas.

LAHAD DATU: Sepasang suami isteri antara empat yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pecah kedai runcit di Gemala Pura, Felda Sahabat 23, Tungku, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, seorang wanita tempatan membuat laporan kejadian pecah kedai melibatkan kerugian lebih kurang RM10,000 iaitu wang tunai yang disimpan dalam peti besi di dalam premis dan pelbagai jenis rokok pada 23 Februari 2020 jam 12.38 petang.

Menurutnya, susulan laporan yang diterima, siasatan polis yang dilakukan mendapati kes itu telah dirancang pengurus kedai.

“Pengurus kedai dipercayai telah menggunakan hasil jualan kedai berjumlah RM4,000 dan telah meminta suaminya memecah masuk kedai dan mengambil wang tunai lebih kurang RM8,000 dan sejumlah rokok pelbagai jenama.

“Ianya dilakukan terancang untuk mengaburi wang jualan yang telah digunakan pengurus wanita tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Nasri berkata, beberapa siri pemeriksaan telah dilakukan dan telah merampas sejumlah wang tunai RM8,000 iaitu RM2,000 dari rumah ibu pengurus dan RM6,000 serta 113 kotak rokok pelbagai jenama di rumah adik pengurus di Ladang Gomantong, Kinabatangan.

Kesemua suspek ditahan reman dan suami pengurus disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pengurus dan pengadu pula disiasat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan iaitu bersubahat yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman yang sama seperti kesalahan dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sumber: Utusan Borneo

884