Lagi 85 PATI Filipina Diusir

KOTA KINABALU : Seramai 85 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina diusir dari Sabah melalui jalan laut, semalam.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pengusiran berkenaan adalah siri ke-12 bagi tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan PATI diusir seramai 594,257.

Katanya, MKN Sabah akan terus menyelaras tanggungjawab bersama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan pelbagai agensi yang lain untuk mengusir  PATI pulang ke negara asal.

“MKN Sabah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam membantu menjayakan proses pengusiran PATI.

“Namun demikian, tanggungjawab membanteras kebanjiran PATI bukanlah terletak di bahu kerajaan semata-mata, kerjasama daripada orang awam juga adalah amat perlu.

“Orang awam diminta untuk tidak bersekongkol dalam melindungi PATI di negeri ini,”kata kenyataan itu.

Tambahnya, kejayaan menangani PATI bergantung dengan peranan dan kerjasama daripada semua pihak.

Sumber: BorneoToday

1014