TIGA WARGA FILIPINA DITANGKAP DALAM OP BERSEPADU PATI
KOTA KINABALU: Operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan pusat bandaraya ini terus dipergiatkan dengan penangkapan tiga orang PATI warga Filipina, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan itu dibuat dalam Op Bersepadu PATI peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang dijalankan selama lima jam bermula 2 petang.
Beliau berkata, daripada 20 orang yang diperiksa di empat lokasi berbeza sekitar pusat bandaraya, tiga warga Filipina termasuk dua wanita dewasa berjaya ditangkap. Kesemua yang ditangkap berusia antara 19 hingga 50 tahun.
Sementara, 17 orang dibebaskan setelah pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imegresen Malaysia (JIM) dengan pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat pemeriksaan dokumen-dokumen pengenalan diri bagi individu yang ditahan untuk diperiksa.
”Meeka dibebaskan setelah pihak keluarga dan majikan mereka memberi kerjasama dengan menghantar Kad Pengenalan dan pasport asal untuk tujuan pemeriksaan.
”Operasi bersepadu ini dijalankan dengan kerjasama JPN, JIM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan pemantauan daripada SPRM.
“Tumpuan lokasi operasi sekitar kawasan pusat bandaraya yang mana kadar pertumbuhan Pendatang PATI yang mengundang kepada kegiatan Jenayah di daerah Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kesemua yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imegresen 1959/63.
Tambahnya, operasi sebegitu akan diteruskan pada masa akan datang dan orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada balai polis berhampiran atau melalui Facebook rasmi IPD Kota Kinabalu.
Maklumat juga boleh disaluran melalui aplikasi Whatsapp IPD Kota Kinabalu di talian 0192182729.
Sumber: BorneoToday