Kerajaan Pusat Peruntukan RM1 Juta Naiktaraf Jalan Di Sandakan

Vivian berkata sesuatu kepada Ruji semasa melawat simpang Jalan Sibuga dan Jalan Utara berdepan SK St.Monica.

SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM1 juta untuk menaiktaraf beberapa simpang jalan raya di Sandakan.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, berkata, daripada jumlah itu, sejumlah RM550 ribu diperuntukkan untuk menaik taraf simpang Jalan Sibuga dan Jalan Utara berdepan SK St.Monica dan selebihnya RM450 ribu untuk jalan masuk dan keluar di beberapa bandar seperti di kawasan berdekatan Bandar Prima, Bandar Indah dan Bandar Letat.

“Kerja-kerja ini juga bagi mempertingkatkan lagi sistem dan keperluan pengangkutan yang baik di Sandakan. Kerja-kerja berkenaan dijangka akan bermula dalam tahun ini,” katanya.

Beliau berkata projek menaik taraf simpang Jalan Sibuga akan diketuai oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia dan dijangka akan menjalankan pembidaan kejuruteraan pada April tahun ini. 

“Projek ini akan meliputi pelebaran bulatan trafik di hadapan persimpangan SK St Monica, pemasangan lampu isyarat, serta pelebaran empat lorong dan lain-lain kerja berkenaan,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu selepas melakukan pemeriksaan tapak berkenaan dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri) bersama Pengarah Pembangunan Negeri (SDO) Datuk Ruji Ubi serta mendengar laporan daripada pihak berkuasa, kelmarin.

Vivian berkata pemaju perumahan IJM juga akan bekerjasama bersama kerajaan dan menyumbang dalam projek pembangunan itu dan lencongan jalan ini  bagi meningkatkan keadaan trafik di kawasan tersebut dan mengurangkan kesesakan lalu lintas khasnya pada waktu puncak.

Di samping itu, Vivian berkata pihak kerajaan juga akan melihat beberapa rancangan untuk menambahkan jalan baru di beberapa kawasan perniagaan utama di Sandakan seperti Prima Square, Bandar Indah dan Bandar Letat.

Beliau berkata pihak berkuasa akan membuat rancangan penyelidikan berkenaan  untuk menambah pintu masuk dan keluar masuk baru di Prima Square, Bandar Indah dan Bandar Letat dalam masa terdekat.

“Ini termasuk untuk membincangkan sama ada ia dapat meringankan lagi keadaan trafik di antara kawasan komersial ini dan memberi manfaat kepada perniagaan dan penduduk tempatan,” jelasnya.

Vivian berkata dengan sokongan daripada Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), dia  percaya setiap projek ini akan dapat dilaksanakan dalam masa yang dijangka. – Utusan Borneo

1090