KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemui mati lemas dipercayai ketika menjala ikan di sungai Kampung Inanam Laut, di sini, semalam.
Mangsa Mohd Zulfakar Mohd Suarin, 24, ditemui kira-kira jam 3 petang oleh orang awam bersama pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas.
Ketua BBP Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.49 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota BBP Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, berdasarkan laporan, mangsa hilang ketika menjalankan aktiviti menjala ikan di sungai berkenaan bersama dua rakannya.
“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian bersama beberapa penduduk kampung.
“Pada jam 3 petang, mangsa akhirnya ditemui oleh penduduk kampung bersama pasukan bomba tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan ambulans di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – Berita Sabah