Miliki Syabu, Dua Lelaki Rempuh Kenderaan Awam Elak Sekatan Polis

Kenderaan suspek mengalami kerosakan teruk selepas merempuh dua kenderaan.

TAWAU: Dua remaja lelaki bertindak melarikan diri dalam sekatan jalan raya yang dijalankan pihak polis hingga merempuh dua kenderaan orang awam di Batu 2, Jalan Apas semalam.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu pemandu dan penumpang berusia 17 tahun yang menaiki kenderaan jenis Toyota Revo bagaimanapun berjaya ditahan pasukan peronda polis. 

Kenderaan awam mengalami kerosakan teruk selepas merempuh dirempuh,

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata ketika kejadian pihaknya sedang menjalankan Operasi Samseng Jalanan di sekitar Jalan Apas. 

Beliau menambah, ketika tiba di Batu 5 Jalan Apas, suspek diarah untuk berhenti namun bertindak memecut kenderaan selepas menyedari kehadiran pihak polis. 

“Apabila tiba di susur jalan pusingan Batu 2, Jalan Apas, kenderaan suspek muncul dengan laju lalu merempuh kenderaan Perodua Bezza dan Isuzu Dmax. Ketiga-tiga kenderaan termasuk kenderaan suspek mengalami kerosakan teruk. 

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek, polis menemukan syabu seberat 5.11 gram (g) di bawah pelapik kaki pemandu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek yang tidak memiliki lesen memandu dan rakannya ditahan atas kesalahan trafik dan dadah. 

Katanya kes disiasat dibawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – SabahNewsToday 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *