Tidak Sempat Elak, Warga Emas Maut Dirempuh Kenderaan

Keadaan motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu.

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Lahad Datu – Tungku, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Mohd Salleh Abd Rajak, 63, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dialami pada bahagian kepala dan kaki.

Pembonceng wanita, 32, mengalami kecederaan di bahagian kaki dan mendapat rawatan di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika kejadian mangsa menunggang dari arah Lahad Datu dan setibanya di lokasi kejadian telah membelok ke kanan lalu disyaki dirempuh sebuah kenderaan dari arah Tungku.

“Hasil siasatan awal, kenderaan itu tidak sempat mengelak dan terus terlanggar motosikal mangsa hingga mengakibatkan penunggang dan pemboncengnya tercampak di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Siasatan yang dijalankan mendapati pemandu kenderaan tidak memiliki lesen memandu.

Suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

1904