KOTA KINABALU: Khidmatnya sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi, namun Datuk Omar Mammah boleh berasa bangga apabila berjaya membawa Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah diiktiraf sebagai kontinjen terbaik seluruh Malaysia dalam membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Omar berkata, IPK Sabah menerima pengiktirafan ‘bunga emas’ pada tahun lalu atas kejayaan membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Katanya, itu antara kejayaan yang dikecapi sejak beliau memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah pada September 2018.
Berkongsi mengenai kejayaan yang dicapai, beliau berkata, IPK Sabah berjaya dalam pusingan pertama memerangi dan membanteras dadah.
“Setelah saya menjadi Pesuruhjaya Polis, saya telah mengarahkan semua ketua polis daerah di negeri ini supaya memilih lima lokasi di daerah masing-masing bagi membanteras dadah.
“Lokasi yang dipilih adalah lokasi yang banyak aktiviti pengaihan dan pengedaran dadah, lima lokasi ini akan disasarkan sebagai lokasi operasi berterusan.
“Walaupun kita tidak dapat membersihkan sepenuhnya kawasan itu, tetapi sekurang-kurangnya 80 peratus pengurangan aktiviti penagihan dan pemerdagangan dadah berjaya dilakukan.
“Namun, kejayaan ini bukan hanya disebabkan operasi secara berterusan. Ini adalah hasil kerjasama masyarakat setempat khususnya, ketua-ketua masyarakat,” katanya selepas Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.
Omar yang bakal bersara menjelang pertengahan Februari ini berharap, penggantinya akan meneruskan usaha membanteras dan memerangi gejala dadah di Sabah.
Omar berkhidmat sebagai anggota dan pegawai kanan polis sejak lebih 30 tahun.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, beliau mahu berehat terlebih dahulu.
Mengenai kunjungan hormat itu, beliau berkata, pertemuan itu adalah kunjungan biasa yang dilakukan oleh ketua-ketua jabatan apabila ingin bersara.
“Dalam kunjungan itu, saya zahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah kerana memberi kata-kata nasihat dan tunjuk ajar serta memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah.
“Kerjasama dan sokongan diberikan kerajaan negeri dalam memberi ruang kepada kita menjalankan tugas dengan baik amat dihargai.
“Sekali lagi terima kasih atas kerjasama dalam membantu membanteras jenayah dan memerangi dadah serta menguatkuasakan undang-undang demi kedaulatan negeri Sabah,” jelasnya.
Omar, yang berasal dari Semporna pernah memegang beberapa jawatan kanan dalam PDRM seperti Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sabah dan Timbalan Ketua Polis Selangor.
BorneoToday