Seramai 123 Pelancong China Pulang Naiki Pesawat Sewa Khas Dari KKIA

Antara pelancong China yang pulang menaiki pesawat sewa khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini. – Foto Bernama

KOTA KINABALU, 31 Jan: Seramai 123 pelancong China dari Hubei pulang menaiki pesawat sewa khas Xiamen Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pukul 6.30 petang tadi.

Mereka menaiki pesawat sewa khas atas inisiatif kerajaan China itu selepas kerajaan membatalkan semua penerbangan dari Wuhan, China susulan jangkitan 2019 novel koronavirus.

Antara pelancong China yang pulang menaiki pesawat sewa khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini.

Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China (Ma-Zhong) Sabah Dr Oh Ei Sun berkata beliau dimaklumkan kumpulan pelancong itu berada di Kota Kinabalu sejak 23 Jan lepas.

“Mereka tidak dapat balik ke China selepas pembatalan sementara semua penerbangan dari negara ini ke Wuhan sebelum ini dan semua penerbangan ke China dari KKIA sejak semalam susulan jangkitan virus itu,” katanya kepada Bernama selepas menghantar kumpulan pelancong berkenaan di KKIA.

Beliau berkata pihaknya tidak mempunyai jumlah pelancong China yang masih berada di negeri ini, namun bersedia memberi bantuan yang diperlukan untuk urusan penerbangan balik mereka.

Terdapat 10 penerbangan terus dari Wuhan ke KKIA dalam seminggu iaitu tujuh penerbangan dikendali syarikat penerbangan AirAsia dan tiga penerbangan oleh Malindo Air.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *