Dua Lelaki Ditahan Bersama 67.4 Kilogram Daun Ketum Di Keningau

Daun ketum yang dirampas dalam Ops Ice Breaker di Keningau. – Foto Ihsan IPD Keningau

KENINGAU: Dua lelaki ditahan bersama-sama 67.4 kilogram (kg) daun ketum yang disimpan dalam plastik hitam dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Narayat di sini, kelmarin.

Serbuan pukul 11.30 malam itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau dalam Ops Ice Breaker.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata ketika serbuan dilakukan pihaknya menahan dua lelaki di dalam sebuah rumah di kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui beberapa plastik hitam yang berisi daun ketum dengan anggaran berat 67.4 kilogram.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya tangkapan berusia 20 dan 30 tahun bersama barang rampasan di bawa ke IPD Keningau untuk siasatan lanjut.

Sementara, beliau berkata pihaknya menahan 57 individu termasuk dua lelaki dipercayai tokan dadah di daerah ini dalam Ops Damn Tokan yang bermula 18 Januari hingga hari ini.

“Sepanjang operasi itu juga, polis merampas 26.09 gram syabu dianggarkan bernilai RM4,000.

“Kedua-dua suspek lelaki ini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas dan dipercayai tokan yang menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Keningau, Tambunan, Nabawan dan Sook,” katanya.

SabahNewsToday

7251