RANAU: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang dalam ladang sawit berhampiran Kampung Kirokot di sini, sejak 25 Januari lalu, ditemui hari ini.
Mangsa, Atliano Brandon Frederick, 19, dari Kampung Poring itu ditemui jam 2.17 petang dalam keadaan selamat oleh penduduk kampung serta pasukan penyelamat kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir dipercayai hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga yang bermula 27 Januari lalu dan ditamatkan hari ini sebaik mangsa ditemui.
Katanya, pihak bomba dengan kerjasama Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta 50 penduduk kampung melakukan pencarian mangsa di keluasan radius 10 kilometer.
“Mangsa yang juga sedang mencari jalan keluar itu ditemui di kawasan hutan dan dipercayai tersesat ketika pergi menangkap ikan seorang diri.
“Mangsa tidak mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital Ranau,” katanya dihubungi.
Pada 24 Januari lalu, mangsa serta tiga lagi rakannya dari Kampung Bongkud dan Kampung Kirokot mengambil upah dengan bekerja mengait buah kelapa sawit di ladang berkenaan selama dua hari.
Bagaimanapun, keesokan harinya jam 3 petang, mangsa yang pergi menangkap ikan seorang diri di sungai berhampiran dipercayai hilang selepas tidak kembali kepada rakan-rakannya.
Harian Metro