Enam Warga Wuhan Di Sandakan Negatif Koronavirus

Imej menunjukkan warga China dari Wuhan sedang menjalan ujian bagi mengenal pasti mereka dijangkiti koronavirus atau tidak. – Foto Media Sosial

SANDAKAN: Enam warga Wuhan, China yang dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Sandakan semalam, dilaporkan negatif sebarang virus.

Namun semua individu itu sudah diterbangkan semula ke Kuala Lumpur.

Pengurus Lapangan Terbang Sandakan Suhaimi Abdul Sani berkata, sebaik enam individu itu tiba di Sandakan, semuanya diperiksa mengikut prosedur.

“Ia sudah menjadi prosedur biasa bagi pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tidak membenarkan warga Wuhan dan Hubei, China masuk ataupun Not To Landing (NTL) di Sandakan.

“Apabila mereka ditahan, mereka diperiksa oleh petugas Jabatan Kesihatan dan semuanya didapati negatif virus.

“Semalam mereka diterbangkan semula ke Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Suhaimi berkata, enam individu itu sudah lama berada di negara ini dipercayai sebelum tercetus wabak koronavirus lagi.

“Apabila tiba di Sandakan, pasport mereka diperiksa dan dikesan berasal dari Wuhan. Disebabkan itu mereka ditahan mengikut arahan yang dikeluarkan.

“Tetapi pemeriksaan petugas perubatan mendapati, mereka negatif virus,” katanya.

Terdahulu, satu mesej memaklumkan enam warga Wuhan tiba di Sandakan.

Rakyat dari dua wilayah itu dilarang keluar dari wilayah terbabit susulan penularan Koronavirus Baharu.

Malaysia turut membatalkan sebarang penerbangan dari wilayah terbabit dalam membendung penularan wabak berkenaan.

Harian Metro

7200