Lebih 7,000 Pengunjung Meriahkan Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Sabah

KOTA KINABALU, 26: Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri Sabah meriah dengan kehadiran lebih 7,000 pengunjung pelbagai kaum yang menggambarkan kepelbagaian dalam kesatuan di negeri ini.

Turut memeriahkan majlis di Dewan Hakka, Tanjung Lipat di sini  ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib

Berbagai acara seperti nyanyian dan tarian singa turut dipersembahkan sebagai hiburan kepada para pengunjung.

Sementara itu, Mohd Shafie dalam ucapannya berkata perayaan seumpama itu yang disambut setiap tahun akan menyemarakkan lagi kebersamaan dan penerimaan masyarakat berbilang kaum di Sabah.

 “Perayaan ini menjadi landasan untuk mengeratkan ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat di Sabah. Manakala perbezaan dalam kepelbagaian budaya itu menjadikan masyarakat negeri ini lebih mengenali antara satu sama lain.

“Sesebuah negeri tidak akan membangun jika sentiasa menimbulkan masalah berkaitan kaum dan agama, sebaliknya kita bercerita bagaimana mahu membangunkan negeri ini dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata masyarakat Cina memainkan peranan penting dari segi pembangunan ekonomi dan perniagaan serta menarik pelabur asing ke Sabah. 

“Oleh itu kerajaan komited untuk memastikan tiada siapa suku kaum di Sabah yang akan diabaikan. Kita perlu bersatu untuk membangunkan negeri demi masa depan anak-anak kita.

“Saya juga menyeru semua rakyat di negeri ini untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan agar usaha membangunkan negeri ini dapat dilaksanakkan dengan baik,” tambahnya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *