5 Pemburu Haram Ditahan

Seekor rusa turut ditemui di dalam bot suspek dan bakakuk yang disyaki digunakan untuk memburu binatang terbabit.

KINABATANGAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran memberkas lima lelaki disyaki pemburu haram dalam kejadian di kawasan Pusat Pemeliharaan Sanktuari Hidupan Liar Sukau, dekat sini semalam.

Suspek empat lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia 33 hingga 51 tahun itu ditahan jam 11.30 malam.

Seekor rusa turut ditemui di dalam bot suspek dan bakakuk yang disyaki digunakan untuk memburu binatang terbabit. Gambar SNT / Batalion 20 PGA Beluran

Serbuan yang dijalankan dengan kerjasama Warden Kehormat Hidupan Liar turut merampas senjata buatan sendiri jenis bakakuk, besi barel bakakuk, peluru hidup dan parang dipercayai digunakan untuk memburu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasruddin M Nasir berkata pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti pemburuan haram di lokasi terbabit.

Lima lelaki disyaki pemburu haram ditahan. Gambar SNT / Ihsan Batalion 20 PGA Beluran

Beliau berkata rondaan kemudian digerakkan ke lokasi berkenaan dengan menaiki bot.

“Ketika tiba di lokasi, anggota menemukan sebuah khemah di tebing sungai bagaimanapun sekumpulan individu yang berada di dalam khemah itu bertindak melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.

“Selang 15 minit kemudian sebuah bot dinaiki lima lelaki datang ke khemah terbabit dan sebaik diperiksa terdapat seekor rusa yang sudah mati serta selaras senjata buatan sendiri ditemui dalam bot lima lelaki terbabit.

Lima lelaki disyaki pemburu haram ditahan.

“Turut ditemukan besi barel bakakuk peluru hidup dan parang ” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata semua suspek kemudiannya ditahan untuk tindakan kerana terbabit dalam aktiviti pemburuan haram.

“Semua barangan termasuk dua bot, dan enjin sangkut yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM33,000 dirampas.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya. – SabahNewsToday

1231