Nelayan Hilang Ketika Keluar Memancing

SANDAKAN: Seorang nelayan warga tempatan dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika keluar memancing menggunakan sampan di perairan Telukan Sandakan sejak pagi Khamis lepas.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata mangsa, Joekinal Angkalamai berumur 36 tahun dikatakan keluar memancing bersendirian pada pukul 10 pagi.

“Mangsa kebiasaannya akan pulang sebelum pukul 5 petang selepas keluar memancing,” katanya.

Beliau berkata isteri mangsa, Amy Mohd Shik telah membuat laporan polis semalam selepas suaminya sudah lebih 24 jam tidak pulang ke rumah. 

“Bertindak daripada maklumat yang diterima daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan pada pukul 2.50 petang semalam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan (ZM Sandakan) memaklumkan kepada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu untuk mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya. 

Zainudin berkata SAR diaktifkan pada pukul 3.50 petang semalam dengan penugasan sebuah bot milik Maritim Malaysia dan sebuah bot lagi milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan radius sektor pencarian 5 batu nautika. 

“Terkini, SAR masuk hari kedua dibahagikan kepada empat sektor pencarian seluas 20 batu nautika persegi,” katanya.

Beliau berkata SAR telah melibatkan dua bot dari Maritim Malaysia dan dua bot dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masing-masing menghantar sebuah bot dengan kekuatan anggota keseluruhan seramai 35 orang. 

Zainudin mengingatkan orang ramai agar segera menyalurkan sebarang aduan atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089- 229504 atau talian MERS 999. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *