Semak Nasihat Perjalanan Sebelum Ke Wuhan

Christina Liew

KOTA KINABALU: Semua pelancong disaran agar menyemak nasihat perjalanan yang dikeluarkan Syarikat Penerbangan AirAsia berikutan pembatalan sementara penerbangan dari Kota Kinabalu-Wuhan dan sebaliknya sehingga 28 Januari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew memberi peringatan itu berikutan nasihat perjalanan yang dikeluarkan AirAsia pagi tadi.

“Keselamatan pelancong sentiasa diutamakan. Ambil langkah pencegahan demi kebaikan masing-masing.

“Saya menasihatkan pelancong agar sentiasa mengambil berat tentang pengumuman yang dikeluarkan oleh kerajaan dan pihak berkuasa kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mengeluarkan kenyataan itu setelah AirAsia mengumumkan pembatalan semua penerbangan dari Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket ke Wuhan, China sehingga 28 Januari ini.

AirAsia dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil berdasarkan nasihat dan peraturan yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan tempatan dan global, termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Bagi penumpang AirAsia yang kini berada di Wuhan, mereka dinasihatkan supaya mematuhi pengumuman yang dibuat kerajaan China serta perlu menghubungi kedutaan negara masing-masing di situ.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *