
TAWAU: Seramai 84 pendatang asing tanpa izin (Pati) diusir pulang ke negara menerusi Program Pengusiran Siri Ketujuh Tahun 2020, di sini, hari ini.
Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua Pati itu dihantar ke Indonesia menerusi jalan laut.
“Ini menjadikan seramai 1,215 orang Pati berjaya diusir bermula 7 Januari lalu sehingga hari ini.

“Berdasarkan rekod, jumlah keseluruhan Pati yang telah diusir keluar dari Sabah mencecah 592,206 orang sejak tahun 1990,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, jumlah itu termasuk Pati yang diusir menerusi pengangkutan udara membabitkan negara lain yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“MKN terus komited menjalankan tugas termasuk mengusir Pati di Sabah dari semasa ke semasa.

“Ia adalah tanggungjawab dan amanah yang diberikan rakyat Sabah kepada MKN dan pihak berkuasa lain dalam menangani kebanjiran Pati di negeri ini,” katanya.