KOTA KINABALU: Jumlah pelancong Korea datang ke Sabah semakin meningkat walaupun pelancong dari China masih dicatitkan sebagai jumlah tertinggi hadir ke negeri ini.
Pengurus Besar Hotel Horizon Stella Chong berkata, pelancong dari Jerman, Perancis serta beberapa negara eropah lain turut datang ke negeri ini.
“Pelancong asing kini menjadikan Kota Kinabalu sebagai pusat transit mereka untuk melawat ke destinasi seperti Kundasang serta Pantai Timur negeri ini,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, antara destinasi yang dikunjungi para pelancong berkenaan ialah Taman Kinabalu di Kundasang, Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok Sandakan, Tawau dan kepulauan sekitar Semporna.
Katanya, pelancong eropah pula lebih berminat melawat destinasi seperti kawasan hidupan liar Tabin dan destinasi-destinasi seumpamanya.
Dalam pada itu, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Tabin adalah kawasan dilindungi Kerajaan khususnya haiwan seperti Gajah Pygmy Borneo.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pengurus Pemasaran dan Jualan Hotel Horizon Nur Idayu Bujang, Pembantu Pengurus Jualan Liyana Susanti Sogito serta tetamu kehormat yang lain.