(VIDEO) Cadang Wujud CIQS Sabah – Kalimantan

Sumber Gambar RTM

TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah akui terdapat keperluan untuk mewujudkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) baru di Serudong, Kalabakan dan Simanggaris di Indonesia dalam tempoh terdekat.

Pengarah JIM Sabah Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, pihaknya akan mengemukakan laporan penuh berkaitan cadangan penubuhan CIQS terbabit bagi membolehkan penduduk di sempadan Malaysia-Indonesia itu keluar dan masuk secara sah, sekali gus mengekang aktiviti haram termasuk penyeludupan serta jenayah lain di kawasan sempadan.

Sumber Gambar RTM

Menurutnya, dengan adanya CIQS itu, rakyat daripada kedua-dua negara akan melalui pemeriksaan imigresen secara sah dan mengelakkan mereka masuk secara haram menggunakan ‘laluan tikus’ atau laluan yang tidak diwartakan.

“Kita akan mengemukakan laporan kepada pihak kerajaan berkenaan cadangan penubuhan satu CIQS yang baharu di kawasan sesuai yang akan dikenal pasti kemudian, sebagaimana peruntukan yang sudah diluluskan dalam Belanjawan 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan tinjauan dan lawatan kerja rasmi di sempadan Malaysia-Indonesia di Serodong, Kalabakan semalam.

Mengulas lanjut, Muhamad Sade berkata, cadangan itu juga selaras dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang meluluskan dana berjumlah RM600 juta untuk pembinaan jalan raya menghubungkan Serudong di Kalabakan dengan Simanggaris di Kalimantan Utara, Indonesia dan pembinaan CIQS lebih teratur serta lengkap.

Sementara itu, mengenai cadangan Konsul Republik Indonesia (KRI) di Tawau, yang mahu operasi di Terminal Feri Tawau (TFT) dilanjutkan pada hari Ahad, beliau berkata, cadangan itu bergantung kepada kelulusan kerajaan negeri.

“Secara asasnya, kita dan agensi yang berkaitan sudah menyatakan persetujuan mengenai cadangan itu untuk membenarkan operasi perkhidmatan feri dilanjutkan pada hari Ahad yang menghubungkan daerah ini dengan Wilayah Nunukan di Indonesia.

“Kita akan cadangkan kepada kerajaan negeri untuk TFT beroperasi pada hari Ahad bermula 16 Februari depan,” katanya.

Sumber Gambar RTM
Sumber Gambar RTM
Sumber Gambar RTM
Sumber Gambar RTM
Sumber Gambar RTM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *