Warga Filipina Ditahan Bersama 30 Karton Rokok Seludup

Sebanyak 34 bungkusan berwarna kuning dan biru mengandungi 30 karton rokok seludup jenis Astro Merah ditemukan di dalam bot jongkong suspek.

SANDAKAN: Cubaan menyeludup masuk 30 karton rokok seludup melalui perairan daerah ini gagal apabila Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluranj menahan seorang juragan di sini, semalam.

Suspek warganegara Filipina berusia 17 tahun yang menaiki bot jongkong ditahan sebaik tiba di kawasan Jeti Kampung Mangkalinau Batu 3 pada pukul 10.30 malam.

Bot jongkong yang digunakan suspek untuk menyeludup rokok haram.

Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata berlaku pergelutan antara PGA dan suspek ekoran tindakan suspek yang cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan di dalam bot berkenaan menjumpai sebanyak 34 bungkusan plastik mencurigakan berwarna kuning dan biru.

“Pemeriksaan yang dilakukan menjumpai 34 bungkusan plastik iaitu 28 bungkusan plastik berwarna kuning mengandungi 25 karton rokok jenama Astro Merah setiap satu dan enam bungkusan plastik berwarna biru mengandungi 25 karton lagi rokok Astro Merah setiap satu dipercayai rokok seludup,” katanya.

Beliau berkata rokok bernilai RM158,780 dan bot jongkong serta dua enjin sangkut dirampas manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967,” jelasnya.

1839