Kontraktor TM Antara Enam Lelaki Ditahan Curi Kabel Di Tawau

Gambari Hiasan

TAWAU, 11 Jan: Polis Tawau menahan enam lelaki berumur antara 19 hingga 50 tahun, kerana disyaki mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) dalam tiga operasi bersama Bahagian Operasi TM cawangan Tawau, di sini sejak Selasa (7 Jan).

Ketua Polis Tawau ACP Peter Umbuas berkata dalam kes pertama, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun, di tepi jalan Kampung Hidayat, Batu 4 dekat sini, kira-kira 1 tengah hari, pada 7 Jan.

Antara peralatan yang dirampas – Sumber Foto RTM

“Polis merampas 13 guni berisi kabel seberat 571 kilogram (kg), 30 batang timah seberat 898kg, sebuah telefon bimbit dan sebuah lori jenama Isuzu,” katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Peter berkata pada 8 Jan pula, empat lelaki berumur 19-27 tahun ditangkap bersama dua guni berisi kabel dengan jumlah berat 23.65kg dan peralatan seperti tukul besi, yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel.

“Mereka ditahan kira-kira 3.45 petang di sebuah rumah di Kampung Pasir Putih, Jalan Sin San,” katanya.

Sumber Foto – RTM

Dalam operasi semalam, Peter berkata seorang lelaki tempatan berumur 50 tahun ditahan kira-kira 4 petang di Kampung Pasir Putih kerana disyaki bertindak sebagai pembeli kabel sebelum menjualnya semula kepada pihak lain.

Menurutnya, polis turut merampas satu lesen perniagaan menjual dan membeli barangan terpakai yang telah tamat tempoh dan sebuah telefon bimbit jenama Vivo.

“Hasil siasatan awal mendapati salah seorang suspek (daripada enam yang ditahan) merupakan seorang pekerja syarikat kontraktor, yang dilantik TM cawangan Tawau.

“Sementara seorang lagi suspek didapati positif dadah,” katanya.

Peter berkata semua suspek direman sehingga esok, untuk membantu siasatan di bawah 379 Kanun Keseksaan.

BERNAMA

2693