Pemandu Lori Rugi RM33,000, Polis Buru ‘Ustaz Rudi’

Mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas kerugian lebih RM30,000 akibat dipukau.

TAWAU: Seorang pemandu lori warga emas mengalami kerugian sebanyak RM33,300 selepas mendakwa dipukau seorang lelaki dikenali sebagai ‘Ustaz Rudi’ di sini, kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Ahmad Lee Abdullah, 66, dikatakan kehilangan seutas gelang emas, seutas rantai emas, wang tunai sebanyak RM3,000, seutas jam tangan jenama Seiko dan telefon bimbit selepas diserahkan kepada suspek untuk tujuan ‘pembersihan’ bagi mengubat sakit lutut mangsa berhampiran sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas.

Menurut sumber, sehari sebelum kejadian, mangsa mendakwa disapa seorang lelaki memakai kopiah dan berperwatakan warak berhampiran sebuah pasaraya di Batu 2, pada jam 3 petang.

Suspek dikatakan mendakwa mengenali mangsa sebelum memaklumkan dia boleh mengubat sakit lutut yang dialami mangsa.

Lelaki itu kemudiannya bertindak memegang lutut mangsa sambil membaca sesuatu menyebabkan sakit lutut tersebut dikatakan beransur-ansur pulih.

Suspek mendakwa penyakit mangsa itu boleh pulih sepenuhnya dengan syarat melalui proses ‘pembersihan’ wang tunai sebanyak RM3,000.

Mangsa yang tidak menyedari muslihat suspek, hanya bersetuju sebelum mereka berjumpa keesokan harinya di hadapan sebuah masjid di Batu 2.

Mangsa kemudian menyerahkan wang tunai RM3,000 kepada suspek, namun lelaki itu mendakwa ia tidak mencukupi untuk proses perubatan tersebut menyebabkan pemandu lori itu turut menyerahkan rantai, gelang, jam dan telefon bimbitnya.

‘Ustaz Rudi’ itu kemudian mengarahkan mangsa membeli rokok untuknya sementara dia mahu menunaikan solat dalam masjid berhampiran untuk proses ‘pembersihan’ tersebut.

Mangsa hanya menyedari ditipu apabila mendapati suspek tidak berada di masjid sebaik sahaja selesai membeli rokok.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi, mengesahkan kes tersebut.

“Laporan polis diterima petang semalam dan kes didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

BorneoToday

843