Lelaki Indonesia Berdepan Hukuman Mati

Suspek disyaki memiliki syabu dianggarkan bernilai RM9,000. Foto Ihsan IPD Tawau

TAWAU: Seorang lelaki warga Indonesia berdepan hukuman mati mandatori selepas didakwa mengedar dadah jenis syabu di kawasan parkir kenderaan di Pasaraya Giant, Jalan Chong Tien Vun, di sini, lewat malam tadi.

Suspek berusia 33 tahun dikesan pada pukul 11.30 pagi di lokasi berkenaan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Beg dan plastik hitam berisi dadah jenis syabu dirampas bersama suspek – foto ihsan IPD Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata ketika pihaknya bertindak menjalankan pemeriksaan terhadapnya, suspek cuba melarikan diri sehingga terjadi pergelutan.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan dan pihak polis merampas beg yang dibawa suspek.

“Pemeriksaan terhadap beg itu, kita menemukan dua peket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 100.08 gram (g) bernilai RM9,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek  positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya. 

Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *