Kastam Patahkan Cubaan Seludup Minuman Keras Bernilai Lebih RM600,000 Di Labuan

LABUAN, 2 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Labuan mematahkan satu cubaan menyeludup masuk pelbagai minuman keras, dengan anggaran nilai sebelum cukai berjumlah RM616,000 di Dermaga Liberty Labuan, di sini hari ini.

Menurut seorang jurucakap kastam, barangan yang dirampas daripada tujuh kontena itu, diisytiharkan sebagai peralatan pengeluaran minyak bukannya minuman keras. 

Jurucakap itu juga berkata jumlah rampasan belum dimuktamadkan kerana anggaran dibuat berdasarkan kapasiti setiap kontena 20 kaki itu dan menambah semua barangan yang disita itu sudah dipindahkan keluar daripada Dermaga Liberty Labuan.

“Minuman keras itu dipercayai diimport dari Singapura telah dihantar ke unit penguatkuasaan di Kiamsam hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Katanya agensi itu sedang memburu mereka yang bertanggungjawab kerana menyeludup dan minuman kontraban itu dipercayai untuk pasaran tempatan. 

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *