Beberapa Laluan Ditutup Sempena KK COPS NIGHT RUN 4 Januari

KOTA KINABALU: Beberapa laluan sepanjang Tanjung Lipat sehingga ke Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) akan ditutup sebahagiannya bermula 4 petang hingga 9.30 malam untuk memberi laluan kepada Program KK Cops Night Run pada 4 Januari depan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, orang ramai dinasihat menggunakan jalan alternatif lain bagi mengelakkan kesesakan lalulintas.

Katanya, sebahagian Jalan Tun Fuad Stephens hingga Jalan Tanjung Lipat akan ditutup di laluan kiri manakala sebahagian jalan lagi akan ditutup sepenuhnya.

Beliau berkata, jalan yang ditutup sepenuhnya bermula dari Kompleks Sukan Likas sehingga bulatan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Likas bermula pada 5 petang sehingga 9.30 malam.

“Jalan yang ditutup di bahagian kiri adalah sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens hingga Jalan Tanjung Lipat menuju ke PPNS, penutupan ini akan bermula pada 4 petang.

“Penutupan jalan itu bagi memastikan Program KK Cops Night Run dan Konsert KK Cops Night Run yang diadakan di Stadium Likas berjalan lancar,” katanya.

Program larian itu dijangka akan disertai seramai 5,000 peserta. Sehingga kini sudah ada 4,000 peserta yang berdaftar dan dalam tempoh seminggu ini, sasaran itu dijangka akan dapat dicapai.

KK Cops Night Run yang julung-julung kali diadakan ini kepada dua kategori iaitu kategori pertandingan yang melibatkan larian sepanjang 10km dan kategori ‘fun run’ sejauh 7km dan 5km.

Peserta larian yang bertanding akan dilepaskan pada pukul 7.30 malam dan peserta ‘fun run’ akan dilepaskan pada 7.45 malam.

Sementara itu katanya, konsert akan turut diadakan bagi memeriahkan lagi program berkenaan.

“Konsert akan bermula pada pulul 8 malam dan terbuka kepada orang ramai, kemasukan adalah percuma.

“Antara artis tempatan yang akan memeriahkan konsert ini adalah Joe, gitaris kumpulan Wings, Rubisa serta beberapa artis tempatan yang lain,” katanya dalam sidang media mengenai persiapan Polis Kota Kinabalu sempena Ambang Tahun Baharu 2020, di sini hari ini.

Habibi berkata, ruang letak kereta sangat mencukupi kerana kapasiti stadium adalah untuk 80,000 orang penonton.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *