JKM Hantar Bantuan Segera Kepada Mangsa Kebakaran Di Sembulan

Safar meninjau keadaan mangsa kebakaran yang ditempatkan sementara di Dewan Sembulan.

KOTA KINABALU: Jabatan Ketua Menteri (JKM) menyalurkan bantuan segera berbentuk wang ihsan kepada 22 ketua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Sembulan Baru yang berlaku semalam.

Bantuan tersebut diserahkan Setiusaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong ketika menziarahi mangsa yang ditempatkan sementara di Dewan Sembulan hari ini.

Safar memberikan kata dua kepada kakitangan kerajaan tentang tanggungjawab mereka membantu mangsa.

“Dewan ini kita buka seawal 7 pagi tadi, kita telah berjaya menyampaikan wang ihsan kepada 22 keluarga yang telah mendaftar di pusat bencana di dewan ini dan ini adalah statistik yang kita terima kalau ada yang belum dapat sila mendaftar di sini supaya bantuan boleh disalurkan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Ketua Menteri.

“Saya difahamkan makan minum selama tiga hari ini akan disediakan oleh Jabatan Kebajikan Negeri Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan berkenaan.

Sementara itu, Safar menyeru agar semua agensi kerajaan membantu urusan setiap mangsa terutama berkenaan permohonan dokumen baharu kerana amat penting untuk disiapkan segera bagi memudahkan urusan harian mereka.

Kakitangan kerajaan memberi penerangan kepada mangsa.

Tambahan pula katanya, sebahagian mangsa adalah kanak-kanak yang akan mula bersekolah tahun depan, justeru mereka amat memerlukan dokumen tertentu.

“Kita dimaklumkan sebahagian besar rumah yang terlibat terbakar sepenuhnya, mereka tidak sempat selamatkan dokumen peribadi dan baju-baju mereka juga hangus, jadi saya menyeru kepada agensi dan pihak berkuasa yang berkaitan supaya memproses dan memudah cara penggantian dokumen dokumen peribadi kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Sebuah keluarga mangsa kebakaran tinggal di dalam khemah yang disediakan.

“Jadi ini akan memudahkan mereka jika ada yang mendaftar sekolah akan bermula minggu pertama Januari tahun depan jadi dokumen-dokumen ini amat diperlukan oleh anak-anak yang akan pergi ke sekolah dan begitu juga ibu bapa serta sebagainya urusan harian mereka perlukan dokumen-dokumen itu,” jelasnya.

Dalam kejadian pada pukul 11.32 malam tadi, api yang marak membakar kesmeua rumah itu serta empat motosikal milik penghuni di situ.

Jabatan Kesihatan turut membuka kaunter untuk memberikan pemeriksaan kesihatan percuma kepada mangsa.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, 35 anggota dihantar untuk mengawal kebakaran dan tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan.

Salah satu rumah yang terbakar di Kampung Sembulan Baru.

BorneoToday

470