Lelaki Hilang Dihanyutkan Arus Sungai

Anggota bomba menjalankan operasi SAR lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Kadamaian, Kota Belud. Gambar ihsan bomba.

KOTA BELUD: Lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus Sungai Kadamaian yang melimpah di Kampung Kaung Malaan, Jalan Bypass Kota Belud – Ranau, Kota Belud, Isnin lalu.

Difahamkan, mangsa, Maxwel Jangkon, 38, disedari hilang oleh rakannya pada 5 petang sebelum memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung.

Ibu mangsa yang tidak mahu dikenali berkata, kali terakhir mangsa dilihat pada waktu pagi sebelum dia ke Pekan Kota Belud untuk membeli barang keperluan manakala mangsa tinggal seorang diri di rumah.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah pada 6.30 petang, rakan anak saya datang dan memaklumkan mengenai kehilangannya.

“Saya dimaklumkan anak saya keluar dari rumah bersama rakannya, namun tidak tahu apa (aktiviti) dibuatnya (mangsa) yang menyebabkannya dihanyutkan arus,” katanya.

Menurutnya, kejadian turut dilaporkan kepada polis dan penduduk kampung membantu bomba mengesan mangsa sejak malam tadi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.17 malam dan seramai lima anggota serta satu jentera, kenderaan utiliti pacuan empat roda jenis Toyota Vigo dan dua bot penyelamat ke lokasi.

“Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa belum ada sebarang petunjuk dan operasi ini dibantu lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.

“Selain mencari mangsa di permukaan air di kawasan sungai cetek dan berbatu, operasi turut dijalankan menggunakan bot di sepanjang Sungai Kedamaian, muara Sungai Abai dan muara Sungai Tempasuk sejauh lima kilometer,” katanya.

Harian Metro

8171