KFR Macam Tikus Dengan Kucing

Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Kes penculikan untuk tebusan (KFR) yang sering berlaku di perairan pantai timur Sabah disifatkan seperti permainan ‘tikus dengan kucing’.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali berkata, biasanya KFR berlaku kerana mangsa leka yang memberi peluang kepada penjenayah.

“Perlu diingat mereka ini adalah penjenayah dan mencari mangsa yang boleh ditangkap.

“Jika ‘kucing’ tidur, ‘tikus’ keluar dan jika ‘kucing’ keluar, ‘tikus’ bersembunyi,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Hazani berharap warga maritim sentiasa berhati-hati ketika berada di laut khususnya di kawasan perairan sempadan.

“Saya minta warga maritim supaya terus melaporkan kepada pihak keselamatan terutamanya ESSCOM jika melihat aktiviti atau individu yang mencurigakan di kawasan perairan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, ketika diminta mengulas soal keselamatan di kawasan perairan, Hazani berkata, setakat ini semuanya dalam keadaan terkawal dengan semua aset akan digerakkan sepenuhnya bagi operasi sepanjang musim perayaan dan Tahun Baru.

“ESSCOM sentiasa akan berjaga-jaga dan saya sudah mengarahkan semua kakitangan supaya memaksimumkan penggunaan aset keselamatan kami.

“Operasi rondaan darat dan laut berterusan seperti biasa, malah kami sedang memperhebatkannya dengan tumpuan diberikan kepada kawasan yang berpotensi digunakan oleh penjenayah,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *