Kampus Universiti Malaysia Sabah Labuan Digenangi ‘Banjir Termenung’

Foto Bernama

LABUAN, 24 Dis: Kuarters pensyarah dan staf Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarbangsa Labuan (UMSKAL) digenangi ‘banjir termenung’ yang menjadi semakin buruk apabila air hujan bertakung dan tidak dapat mengalir keluar ekoran masalah perparitan di kawasan itu.

Paras air meningkat daripada paras pinggang pada Isnin kepada paras dada sehingga 2 petang Selasa tanpa ada-apa tanda air akan surut.

Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL Zamri Mohamad Tuah berkata jumlah keluarga yang dipindahkan meningkat kepada lapan keluarga daripada enam keluarga pada Isnin di mana mereka kini ditempatkan di bangunan kuarters kosong di tempat yang lebih tinggi.

Beliau berkata banjir kerap berlaku sejak Jun tahun ini apabila sebuah projek pembinaan sebuah bangunan bersebelahan bangunan UMSKL dimulakan.

Pemaju projek telah berjanji untuk membina sistem perparitan baharu bagi mengelakkan banjir namun masih belum dilaksanakan, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata beliau telah mengarahkan pegawainya meneliti secara serius isu itu dan mencari jalan penyelesaian yang efektif.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan pihak UMSKAL dan pemaju terbabit bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu banjir itu secepat mungkin,” kata Fary.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan Juniaddi Awang Tuah berkata beliau telah menghubungi pihak pemaju bagi kemungkinan menggunakan pam air yang baharu diperolehi untuk mengepam keluar air yang bertakung itu.

“Tetapi kami memerlukan bantuan kontraktor pemaju untuk mengendalikan pam air itu,” katanya.

BERNAMA

652