Lebih Banyak PPRT Bakal Dibina Di Putatan

Uda (tengah) menyerahkan kemudahan peralatan kepada seorang penerima sempena program Penyerahan Bantuan Peralatan dan Serah Kunci PPRT Dun Petagas. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

PUTATAN: Kerajaan sedia mempertimbangkan untuk membina lebih banyak rumah bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Putatan pada masa akan datang.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai mengakui pihaknya menerima banyak permohonan PPRT daripada rakyat yang tidak mampu membina atau memiliki kediaman sendiri.

“Kita telah kaji dan sahkan bahawa mereka yang memohon PPRT ini adalah dalam kalangan keluarga daif dan telah berdaftar dengan e-kasih.

“Oleh itu kerajaan sedia pertimbangkan permohonan yang ada dari masa ke semasa untuk meringankan beban dan kesusahan rakyat khususnya di kawasan Putatan,” katanya kepada pemberita selepas program Penyerahan Bantuan Peralatan dan Serah Kunci PPRT Dun Petagas di sini hari ini.

Dalam program itu sebanyak enam keluarga dari Dun Putatan menerima kunci rumah masing-masing yang disampaikan oleh Uda.

Uda yang juga Adun Putatan turut menyerahkan bantuan kerusi roda, kemudahan asas seperti kerusi, meja dan komputer kepada beberapa sekolah dan badan keagamaan.

Mengulas mengenai cadangan agar rumah PPRT dijadikan sewa belia, Uda berkata cadangan itu pernah dibawa ke Parlimen tetapi kerajaan pada masa ini belum lagi menjadikannya sebagai dasar untuk dilaksanakan.

Sehubungan itu katanya pemohon yang telah mendapat PPRT diminta agar mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan untuk menduduki kediaman tersebut.

Ditanya mengenai persiapan pihaknya untuk membantu kempen pilihan raya kecil Parlimen Kimanis, Uda berkata Dun Putatan telah mengadakan mesyuarat baru-baru ini.

Jelas beliau lagi pihaknya akan menghantar pasukan untuk membantu menjayakan kempen bagi memastikan kemenangan Parti Warisan Sabah (Warisan) di Kimanis. – SabahNewsToday

2792